Sunday, September 21, 2008

Jatuhkan BN; Ijmak - Wajah Kerajaan Baru, Bagaimana?

Salam ISLAH,

Pertama
; Kita angkat setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan taufiq dan hidayahNya jua kita telah ‘dipilih’ dan diizinkan untuk melangkah masuk ke dalam hari-hari 10 terakhir dari Ramadhan Al Mubarak. Inilah masanya ‘pemburu’ Lailatul Qadar mula menyibukkan diri dengan ibadah, terutamanya di malam hari dengan qiyam dan rukuk sujud di hadapan Allah SWT memohon keampunan dari dosa-dosa yang dilakukan agar Allah SWT membersihkan dosa-dosa tersebut dengan air taubat.

Kedua ; Sudah begitu lama saya tidak mengulas persoalan fiqh harakah dan amal Islamiy serta suasana politik semasa dalam blog saya ini. Dengan kacau bilau yang berlaku sekarang ini, khususnya khilaf yang berlaku tanpa kawalan lagi di dalam PAS khususnya, maka saya merasa terpanggil untuk kembali menyertai sahabat-sahabat lain hanya kerana ingin bersama memberikan sedikit sumbangan dalam memantapkan fikrah perjuangan.

Ketiga ; Ramai sahabat dan kawan bertanya pandangan saya mengenai Kerajaan 16 September yang tidak menjadi. Saya lebih banyak mengambil sikap menjawab acuh tak acuh dengan persoalan tersebut. Bukan kerana saya tidak sensitif dengan isu besar ini, atau kerana ingin memencilkan diri, saya cuma mahu menunggu dan melihat. Namun kerana kepentingan tertentu, saya merasakan bahawa saya ‘wajib’ bersama mengambil bahagian dalam membentuk sikap dan cara berfikir di kalangan sahabat dan masyarakat.

Keempat ; Bagi saya, samada kerajaan 16 September terbentu ataupun tidak, itu tidak penting. Semua pihak telah IJMAK bahawa kerajaan zalim dan korup BN wajib dijatuhkan dan digantikan dengan kerajaan lain yang lebih bersih, adil dan berkemampuan untuk memacu negara kearah kejayaan yang hakiki. Tidak ada yang khilaf dalam perkara ini. PAS, PKR dan DAP, seluruhnya bersepakat dalam hal ini. Jika kerajaan 16 September berjaya dibentuk, maka ia akan diingati sebagai tarikh keruntuhan kerajaan korup dan zalim BN dan UMNO.

Kelima ; Yang lebih penting bagi saya ialah bagaimana rupa wajah kerajaan baru yang akan dibentuk. Itu yang mustahak. Kalau sekadar menjatuhkan kerajaan BN kemudian naikkan kerajaan BN yang kedua, maka tidak perlulah tukar kerajaan. Apa maknanya menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang kemudiannya menaikkan kerajaan yang lebih kurang serupa. Kita harus melihat pembentukan kerajaan dari kacamata Islam. Sebagai seorang Muslim, kita diajar oleh Al Quran bahawa kerajaan dan kekuasaan adalah milik Allah SWT yang dipinjam dan diamanahkan kepada manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi. Tanggungjawab khalifah sepertimana yang dijelaskan oleh para ulamak kita adalah “menegakkan agama dan menguruskan siyasah dunia dengan panduan agama”. Jelas bahawa kerajaan yang kita perjuangkan adalah kerajaan yang menjaga kepentingan Islam dan kerajaan yang menaungi dunia dengan rahmat Islam. Penyelewengan dari Islam dalam pembentukan kerajaan adalah satu jenayah besar.

Keenam ; 16 Spetember yang lalu, Tuan Guru Presiden PAS telah menegaskan di dalam ucapannya di Kedah, bahawa PAS tidak akan menyertai kerajaan yang terbentuk jika sekiranya Islam tidak memandu dan menjadi tunjang kerajaan tersebut.Inilah prinsip perjuangan yang jelas yang telah ditunjukkan oleh seorang pemimpin yang sangat faham dan jelas apa yang diperjuangkan dan bagaimana ia diperjuangkan. Sebarang penyelewengan dari Islam dalam pembentukan kerajaan adalah satu pengkhianatan. Islam mesti diletakkan di hadapan dan memandu kerajaan. Haram kita biarkan Islam terpinggir dan nasibnya tidak diketahui akan kedudukannya di dalam kerajaan yang terbentuk kelak. Berjuanglah demi ISLAM.

No comments: