Friday, September 5, 2008

Percaya Pada Allah SWT

Salam ISLAH,



Hari ini adalah hari kedua program saya di Kuala Lumpur. Kelmarin, 10.30 pagi saya bersama Muslimah Masjid Al Falah USJ 9, 1.00 tengahari di Wisma CELCOM Petaling Jaya dan malamnya saya menyampaikan tazkirah selepas tarawih di Surau Al Iman, Kemensah Height, Hulu Kelang. Pagi hari ni, jam 10.00 pagi saya bersama Muslimah Masjid Darul Ehsan, Taman TAR dan malam ini saya akan menyampaikan tazkirah selepas tarawih kepada jamaah Masjid Darul Ehsan Taman TAR, Ampang insya Allah.



Beginilah bila datangnya Ramadhan setiap tahun sejak tahun 2000. Ramadhan bulan barakah dan dalam masa yang sama menjadi bulan rezeki para pejuang dan mujahid di jalan Allah. Setiap Ramadhan saya akan berada sebulan di Kuala Lumpur untuk program kutipan infaq untuk Sekolah Rendah Islam At Taqwa, Beseri, Perlis dan tahun ini saya kena buat kutipan infaq untuk dana Darul Islah.



Hati-hati manusia muslim di Bulan Ramadhan ini sememangnya sangat ingin berbuat kebajikan dan kebaikan. Rahmat dan berkah Ramadhan ini sangat terasa di hati saya. Pernah kutipan infaq Ramadhan dapat menampung belanja program dakwah dan sekolah selama setahun dengan izin Allah, alhamdulilLah.



REZEKI PEJUANG AGAMA



Pagi 30 Ogos yang lalu, saya dijemput oleh Masjid Negeri Selangor untuk mengendalikan program Bicara Ad Din yang dianjurkan pihak masjid. Di kesempatan yang ada, saya petik tulisan Fadhilat Doktor Yusuf al Qaradhawi di dalam bukunya ‘Iman & Kehidupan’ di dalam satu bab yang membincangkan mengenai unsur-unsur kekuatan kepada seorang Mukmin iaitu “Percaya kepada Allah”.



Percaya kepada Allah SWT adalah asas kekuatan dalam kehidupan seorang Muslim. Aqidah Islam yang sahih dari sudut bahasanya adalah merangkumi 3 perkara asas yang penting ; Keyakinan , kepercayaan dan tidak ada keraguan selamanya. Tiga unsur penting aqidah inilah yang menunjangi kehidupan mukmin selama mereka hidup di atas muka bumi. Dengan asas inilah mereka berjaya mengharungi kehidupan dunia yang penuh dengan onak dan duri ini.



Sekalian Nabi dan Rasul ‘alaihimussolatu wassalam, kehidupan dakwah dan perjuangan mereka adalah berlatar belakangkan kepercayaan dan thiqah dan sangat kukuh kepada Allah SWT. Percaya pada Allah SWT telah menjadikan mereka kuat walaupun kelihatan lemah dan sedikit bilangan. Semangat dan roh perjuangan mereka sangat kental walaupun dalam keadaan serba kurang serba serbi. Semuanya adalah kerana kepercayaan teguh kepada segala janji Allah SWT. Dengan kerana itulah Nabi Ibrahim as menolak pelawaan Jibril untuk membantu di saat ia dilempar ke dalam api Namrud. Kata Ibrahim KhalilulLah ; " Adapun untuk meminta pertolonganmu wahai Jibril, tidak sama sekali. adapun dengan pertolongan Allah, cukuplah bagiku Allah dan Dialah sebaik-baik penolong".



Para pejuang dan mujahid yang mewarisi tugas dakwah mestilah mempunyai aqidah seperti para anbiya’ terutamanya dalam masalah rezeki. Percaya pada Allah bererti percaya dengan bulat dan yakin bahawa rezeki orang yang buat kerja agama dan membela Islam adalah di dalam jaminan Allah SWT. Belum ada kekasih Allah yang bekerja mengajak manusia kepada berubudiyah hanya kepada Allah dibiarkan mati kebuluran oleh Allah SWT. Hakikatnya, kita melihat dengan pandangan mata reality dan hakikat bahawa para pejuang agama telah dikurniakan hati yang lapang sehingga setiap yang sempit dipandang luas dan setiap kesusahan dihadapi dengan redha dan senyuman.



Setiap kali datangnya Ramadhan, saya melihat dengan mata kepala saya sendiri bahawa janji Allah itu benar. Allah SWT memberi jaminan bahawa rezeki para mujahid adalah di dalam tanggungan Allah SWT. Betapa Allah telah membuka dan melembutkan hati hamba-hambaNya di bulan mulia ini untuk bersedekah, berinfaq, bertabarru’, berzakat dan memberikan sebanyak-banyak sumbangan untuk mendokong usaha dakwah dan kerja membela Islam.



WasallalLahu ‘ala Saiyyidina Muhammadin wa ‘ala alihi wa ashabihi waman jaahada bijihaadihi ila yaumiddin.

1 comment:

Anonymous said...

salam ya ustaz, masha allah..ana tertarik dengan tulisan ustaz ni.

cuma..ana nak tanye.

apakah syirik jika seseorang itu merahsiakan perjuangannya hanya kerana takut dibuang majikan atau didakwa dalam mahkamah kampus?