Friday, September 26, 2008

Yang Pahit Menjadi Ubat


Salam ISLAH,



Pertama ; Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk ‘mewasiatkan’ diri saya dan sahabat seperjuangan sekalian untuk sama-sama kita manafaatkan detik-detik terakhir Ramadhan ini dengan mengambil peluang sebaik-baiknya untuk meraih pahala amal soleh dan maghfirah yang telah dijanjikan oleh Allah SWT atas lisan NabiNya Muhammad SAW.



Kedua ; Rasulullah SAW telah menggambarkan bahawa ‘rasa’ kehidupan dunia adalah ‘manis’ dan ‘indah’. Tidak ada yang melihat dunia melainkan pasti akan terasa keindahan dan punya keinginan untuk menawan keindahan dunia. Kemanisan dunia itu pula mengghairahkan dan melalaikan. Tiada seorang Muslim yang ditawarkan dunia padanya pasti ia tidak akan menolak sama sekali. Rasulullah SAW berpesan kepada kita supaya berhati-hati dengan dunia dan mengendalikan dunia dengan ‘pantang larang’. Sememangnya sifat muttaqin itu, mereka sangat berhati-hati dengan helah dan tipudaya dunia.



Ketiga ; Akhirat juga mempunyai ‘rasanya’. Kehidupan dunia ada asam garamnya. Ulama’ sepakat mengatakan bahawa dunia itu pahit dan masin rasanya. Namun zaman sekarang menyaksikan bahawa yang masin itu adalah ‘nilai’ sebenar kelazatan suatu hidangan makanan dan yang pahit pula menjadi ‘ubat’.



Keempat ; Untuk mendapatkan manisnya syurga, kepahitan akhirat wajib dirasai dan ditempuh dengan tabah dan penuh pengharapan dan sandaran kepada Allah Rabbul ‘Izzah. Sememangnya perjuangan itu pahit kerana syurga itu manis. Benarlah sabdaan Rasul bahawa kesusahan, keperitan dan kemiskinan itu adalah pakaian kepada pencinta Allah & Rasul. Tiada terintisnya jalan untuk menggerakkan qafilah dakwah melainkan halangan dan mehnah akan menghiasi perjalanan tersebut.



Kelima ; Manafaatkan sebaik-baiknya madrasah Ramadhan. Inilah masanya menyemak ‘selera’ ruhiyah kita dengan ibadah dan tarbiyah Allah di bulan Ramadhan. Kalau terasa kurang selera dengan ‘ma’dubah’ (hidangan) Allah yang lazat-lazat di bulan Ramadhan ini, maka kita adalah orang sakit yang kehilangan selera makan. Ubati segera kerana jika dibiarkan pasti kematian menanti. Mati di dunia sebelum mati yang sebenar ketika dicabut ruh adalah lebih perit dan membinasakan ‘masa depan’.



“Yang manis menambah selera, sedang yang pahit menjadi ubat”



No comments: