Saturday, October 4, 2008

Kita Pun Mesti Ikut Al Quran!

BismilLah, walhamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala Saiyyidina wa Imamina Muhammad Ibn Abdillah, wa ‘ala alihi wa ashaabihi waman tabi’ahum ila yaumiddiien, wa ba’du ;

Salam ISLAH dan Salam Eid Fitri kepada sahabat sekalian,

Saya baru sahaja memulakan agenda ziarah ukhuwwah di Eid Fitri di Perlis setelah hilang kepenatan bermusafir jauh dari Melaka-Kuala Lumpur dan akhirnya tiba di Perlis petang semalam. Syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan keselamatan dan kemudahan di dalam perjalanan saya. Kepulangan saya disambut senyum riang isteri tercinta dan saya merehatkan diri sepenuhnya untuk melegakan demam yang saya alami sejak minggu akhir Ramadhan dan alhamdulillah, pagi tadi saya bangun dengan kesegaran tubuh kurniaan Ilahi.

Tengahari tadi saya berkesempatan untuk bersama YB Ustaz Hj Hashim Jasin di majlis rumah terbuka Aidil Fitri anjuran bersama beliau dan Dato’ Dr Harun Din di Sanglang. Saya duduk disebelah Dr Harun Din semasa menjamah jamuan nasi daging dan sup tulang yang dihidangkan kepada tetamu. Saya sempat bisikkan ke telinga Timbalan Mursyid Am tentang tulisan YB Khalid Samad dalam blognya yang memberi komen tentang penggunaan ayat 61 dan 62 surah Al Anfal oleh Majlis Syura dan TGHH dalam meneruskan usaha muqabalah. Dr Harun mengangguk sambil menyebut ; “Ana telah terima sms tentang itu”. Mudah-mudahan Majlis Syura Ulama akan membersihkan saki-baki pimpinan PAS yang masih merasakan diri mereka lebih pandai dari ulama dalam memandu perjuangan Islam.

MARI BETULKAN AQIDAH

Mari kita sama-sama membetulkan aqidah dan keimanan kita terhadap seluruh tuntutan ajaran Islam dengan kedatangan Syawal kali ini. Oleh kerana kita selalu tunding jari kepada UMNO dalam masalah rosak aqidah, maka terkadang kita dalam PAS ni merasakan bahawa kita semua adalah ma’sum daripada kerosakan aqidah. Berjuang Islampun ada tuntutan aqidahnya. Ini semua adalah kerana perjuangan PAS ada kaitan dengan Al Quran dan Al Hadis. Maka sudah barang tentulah ianya tidak boleh sama sekali lari dari tuntutan-tuntutan aqidah.

Penggabungan diri dengan PAS juga adalah penggabungan aqidah, intima’ al aqidah. Bukan sahaja penggabungan siyasah semata-mata. Jangan sampai kerana nak raikan maslahah siyasah maka tuntutan aqidah diabaikan.

Sewaktu datangnya wakil Quraisyh menawarkan perdamaian bahkan kerjasama dan pertolongan untuk dakwah Rasul dan perjuangan mendaulatkan Islam, Rasulullah telah menolak tawaran tersebut walaupun tawaran itu dari sudut logiknya mempunyai maslahah dan kepentingan terhadap perkembangan Islam dan masa depan dakwah yang terang benderang. Hanya satu syarat ; sembah Allah tahun ini, tahun depan sembah Laata dan ‘Uzza. Imbuhannya ; hasil mahsul perdagangan selama setahun Makkah akan dibahagi dua. Kedamaian dan keamanan untuk dakwah Islam juga terjamin. Bolehlah dalam masa setahun, usaha dakwah Islam dikembangkan dengan sebebas-bebasnya. Tapi Rasul yang agung telah menolak disamping turunnya dokongan Allah dengan terwahyunya Surah Al Kafirun :

“Katakanlah: "Hai orang-orang kafir,Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang Aku sembah. Dan Aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang Aku sembah.Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku."

Surah Al Kaafirun : 1-6
ALLAH YANG SANGAT MENGETAHUI

Maha Suci Allah yang telah menurunkan Al Quran sebagai panduan. Benarlah Al Quran itu sesuai sepanjang zaman, di setiap tempat dan ketika. Cuba perhatikan sebab turunnya ayat dan kandungan ayat serta praktikalnya dengan apa yang sedang kita khilafkan di saat ini. Rujuklah dengan ulama’ dan tafsir yang mu’tabar, anda akan mendapati huraiannya sama sahaja. Seruan Allah agar meletakkan Tauhid dan tuntutan Aqidah melebihi segalanya. Kepentingan Aqidah wajib dipelihara melebihi maslahah siyasah dan politik semasa. Saya juga tidak mahu dituduh sebagai pemutar belit ayat Allah. Dan saya juga tidak mahu rosak aqidah dan menjadi kafir dek kerana pandai-pandai menafsirkan ayat Allah SWT dan mentakwilkan ayat Allah dengan tiada ilmu!

Aidul Fiti bermakna kembali kepada fitrah. Fitrah kita adalah agama. Kita takkan dapat memisahkan diri dari agama. Sebagaimana lagu dan irama, tidak akan boleh terpisah. Demi memelihara fitrah aqidah Islamiyah yang sahih, apa jua kerugian dan halangan mesti didepani dengan baik. Membujur lalu melintang patah. Ini ruh dan jiwa surah Al Kafirun. Dalam khutbah hari raya baru-baru ini, kita hentam UMNO yang sambut Aidul Fitri tapi aqidah tidak betul sebab tolak Quran. Mari kita ajak diri kita pula terima Al Quran sepenuhnya. Jika tidak, samalah kita macam UMNO yang tolak Quran.

Ya Allah, beri petunjuk pada kami dengan hidayah Al Quran, tolong angkat darjat kami dengan kemuliaan Al Quran, tolong ampun dosa-dosa kami yang banyak dengan tilawatil Quran, syafaatkan kami di akhirat dengan berkat Al Quran, Ya Zal Fadhli Wal Ehsan.


4 comments:

Anonymous said...

Ustaz,

Bimbang dengan perkembangan terbaru dalam PKR.Nampak macam ada aktiviti negatif seperti Sedekah seks dan terbaru YB Batu Caves yang muslim menaikkan replika anwar, tinggi pulak tu 12 meter. Mufti Perlis suruh turunkan dia engkar..entahlah.. cuba lihat disini replika/patung tersebut Patung dato seri dengar ceritanya sudah dinaikkan di Batu Caves oleh YB Amiruddin Saari.Apabila Mufti Perlis minta turunkan Patung tersebut, YB tak mahu, khilaf aja katanya….entahlah PKR ni, Sedekah Seks, Khilaf Patung…Harapnya kita betulkan part yang ni dulu baru ambil alih negara kot…

http://tokgajah.wordpress.com/

U-HAH said...

Salam ustaz,

ulama dalam pas kena aggresif. salah ahli kecil tak nampak, tapi jika pimpinan yang tersalah cepat merebak dan besar kesannya! jangan biar merebak...

so, syura kena jadi rujukan dan jangan ada sesiapa cuba challenge keputusan syura...

hal ini termasuklah insiden cikgu pa guna harakah yang amat-amat tak patut berlaku, kerana ia akhirnya mendedahkan jamaah kepada pertelingkahan pendapat di kalangan pimpinan...apatah lagi ahli bawahan!

Unknown said...

Jangan berselindung di sebalik jubah dan serban untuk mengeluarkan segala fatwa demi mengabsahkan berpeluk dengan dolah yang semakin tersepit.

boleh percayakah menatang umno bila depa tipu ust hadi utk jadikan ust hadi pm dan menatang khairy jamaludin TPM.

mu'min takkan dipatuk dua kali dalam lubang yang sama...

fikir2kan!

Qurban Bayram said...

"Mudah-mudahan Majlis Syura Ulama akan membersihkan saki-baki pimpinan PAS yang masih merasakan diri mereka lebih pandai dari ulama dalam memandu perjuangan Islam."
-ayat berbaur takabbur dan riya', seolah2 hak mutlak mendefinasikan islam hanya kepada golongan lulusan agama sahaja....