Thursday, October 2, 2008

Kembali Kepada Fithrah

BismilLah, wassolatu wassalamu ‘a;a Saiyyidina RasulilLah, wa ‘ala alihi wa ashaabihi wa man nasarahu waman walaahu, amma ba’du :

Salam ISLAH ;

Kita memuji Allah SWT dengan pujian yang paling layak untuk Pencipta Sekalian Alam kerana dengan kekuatan dan taufiq hidayah Allah SWT jua kita dapat menyelesaikan ibadah puasa dan melakukan banyak amal soleh di Bulan Ramadhan yang baru sahaja meninggalkan kita. Pesan para ulama’ muslihin, hendaklah kita merasakan bahawa amalan soleh yang dapat kita laksanakan sepanjang hidup kita itu adalah kerana kurnia dari Allah jua, bukannya kerana kekuatan kita semata. Tanpa taufiq Allah SWT, sekali ruku’ pun kita takkan dapat lakukan, sepatah subhanalLah pun takkan dapat kita ucapkan. Dengan merasakan amal yang kita lakukan itu adalah kurnia Allah, maka dengan sendirinya dapat mengelakkan kita merasa ‘ujub dengan diri sendiri.

ALLAH SEBAGAI MATLAMAT

Sempena menjelmanya Eidul Fitri tahun ini, marilah kita mengukuhkan istiqamah kita untuk memburu TAQWA sepanjang hayat kita hingga kita kembali bertemu Allah SWT. Setelah sebulan bekerja keras melalui setiap langkah membersihkan jiwa dan tazkiyah an nafs di sepanjang Ramadhan maka inilah masanya kita raikan kemenangan kita dan kembali kepada fitrah asal kejadian dan penciptaan kita sebagai makhluk Allah yang paling utama. Kembali kepada fitrah bermakna mengambalikan hidup sebagai hamba kepada Allah dalam kehidupan dan mengembalikan rasa ‘bertuhan’ dalam kehidupan kita. Marilah kita jadikan Allah sebagai matlamat kehidupan kita terutamanya maksud dan objektif perjuangan kita di dalam jamaah Islam yang sedang kita dokongi saat ini. Jangan kita lari dan menyeleweng dari matlamat ini. Inilah yang menjadi sebab utama kepada ketegasan prinsip perjuangan Islam sepanjang zaman. Sejak daripada Rasulullah SAW menolak tawaran Quraish dan sejak turunnya Surah Al Kafirun kepada Baginda SAW.

Inilah juga yang menjadi sebab ketegasan Tuan Guru Presiden PAS dalam kenyataan rasminya bahawa PAS sama sekali tidak akan menyertai Kerajaan Baru yang akan ditubuhkan oleh DS Anwar Ibrahim jika sekiranya tiada jaminan terhadap kekuasaan dan ketuanan Islam.

Datuk Seri Anwar telah memberikan jaminan bahawa Kerajaan PR yang akan ditubuhkan adalah kerajaan yang majoritinya Islam. Saya sangat berharap janji tersebut akan dikotakan bukan sekadar untuk dikatakan. Saya berdoa untuk itu. Saya juga berharap takkan ada sahabat-sahabat yang akan mencadangkan saya ‘dipecat’ dari PAS kerana kenyataan saya ini. Jangan kerana ‘terlalu kasih’ kepada Anwar sehingga sanggup sembelih pimpinan sendiri.

Saya ucapkan syabas kepada penegasan Tuan Guru Presiden yang saya rasa diulang beberapa kali mutakhir ini bahawa PAS berkehendakkan Kerajaan Ketuanan Islam. Kata TGHH, PAS mahu kerajaan baru dikuasai Islam. PAS akan tarik diri terang-terang jika kerajaan baru tiada majority Islam. Inilah perjuangan PAS, tidak pernah tertarik dengan tawaran kuasa dan pangkat melainkan untuk mencari keredhaan Allah SWT. Redha Allah adalah ‘nombor satu’ dalam PAS. Menjatuhkan BN adalah untuk mengapai redha Ilahi, namun tiada sebarang erti jika Islam sama seperti zaman BN dalam kerajaan baru PR. Biarlah buruk sangka ini menjadi ‘sempadan’.

Tuan Guru Presiden juga menegaskan bahawa kerajaan yang akan ditubuhkan itu adalah kerajaan yang kukuh dan bukannnya kerajaan yang lemah. Ia mesti diwakili oleh wakil rakyat yang konsisten (istiqamah) dan bukannya yang penakut atau pak turut. Bagaimana perubahan boleh dilakukan jika wakil rakyat kerajaan baru tidak konsisten dan penakut. Perubahan itu hanya akan berlaku sementara sahaja.

Dalam ertikata yang lain, kita mahukan kerajaan yang beriman dan bertaqwa serta wakil rakyat yang mempunyai iman dan prinsip perjuangan yang jitu. Inilah wajah kerajaan yang PAS mahukan. Memelihara prinsip keadilan adalah merupakan sikap dan sifat pimpinan kerajaan yang istiqamah dan berani. Berkata benar walaupun pahit adalah perhiasan mereka. Semua ini mesti datang dari latar belakang yang ‘jelas’ dan telah teruji. Adalah mustahil ‘nangka’ akan berbuahkan ‘durian’.

Moga dengan kedatangan Eidul Fitri tahun ini. Kita akan mengembalikan asas dan perjalanan jamaah kita ini. Perbezaan pendapat bukanlah sesuatu yang salah dalam jamaah kita. Bahkan khilaf bukannya perbalahan. Khilaf membawa rahmah. Khilaf berlaku di antara yang ‘benar’ dan yang ‘paling benar’, bukannya antara yang ‘betul’ dan yang ‘salah’. Mungkin di saat ini, keputusan Majlis Syura dan pendirian Presiden mestilah ditaati kerana Syura adalah paling benar jika ianya berdiri di atas landasan wahyu Ilahi. Fahamilah.

1 comment:

AHMAD AKHYARI BIN ISMAIL said...

Contohilah Sirah Rasulullah. Walau ditawarkan kekuasaan segera. Asolah Dakwah tetap diutamakan. Orang Quraisy beri tawaran - MALLAKNA LAKA MULKAN
- ملكنا لك ملكا -
JAMA'MNA LAKA MAALAN
- جمعنا لك مالا -
Namun tidak semua itu.... Asholah dakwah dengan iringan mehnah & triblasi tetap menjadi pilihan Ar-Rasul Mushtofa Al-Akhyar.........